KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuat pengumuman berhubung insentif kepada Mohd Faiz Subri yang merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, esok.
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin ketika dihubungi Bernama hari ini berkata pengumuman itu akan dibuat ketika menyambut kepulangan Mohd Faiz dari Zurich, yang dijadualkan pada 3.15 petang esok di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mohd Faiz, 29, menerima pengiktirafan terbaik dalam kariernya itu selepas membuat jaringan gol paling cantik sepanjang 2016, hasil keunikan sepakan percuma ketika membantu pasukan Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari lepas.
Beliau juga berjaya mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan gong sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puska, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.
Pemain Liga Super itu mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah yang julung kali dimenangi Ronaldo pada 2009. – BERNAMA

