MELAKA – Kerajaan negeri Melaka terus komited mendidik masyarakat di negeri ini mengenai teknologi hijau bagi memastikan pelaksanaan teknologi itu lebih efektif dalam usaha melestarikan alam sekitar.
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata walaupun Melaka banyak melaksanakan inisiatif teknologi hijau namun, semuanya tidak akan berhasil tanpa sokongan masyarakat.
Katanya pelbagai program hijau telah dilaksanakan kerajaan dan swasta bagi mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar selain menjadikannya alternatif bagi meningkatkan ekonomi negara.
“Justeru itu, kerajaan negeri akan terus fokus kepada agenda membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai ilmu berkaitan teknologi hijau bagi mengatasi kemusnahan alam dan sumber asli di negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Projek Kecekapan Tenaga Bangunan Kerajaan Negeri Melaka yang turut dihadiri Duta Besar Denmark ke Malaysia, Nicolai Ruge.
Idris berkata pengurusan sembilan bangunan di bawah kerajaan negeri perlu serius mengamalkan kecekapan tenaga bagi memastikan visi pelaksanaan pelan tindakan Melaka sebagai Bandar Hijau dapat dicapai.
Beliau turut meluangkan masa melawat Putra Specialist Hospital di sini yang mengadaptasi teknologi hijau dengan mematuhi piawaian hijau antarabangsa.
“Melalui kaedah ini, hospital itu berjaya menjimatkan tenaga di antara RM100,000 dan RM150,000 setiap bulan. Ini adalah usaha yang sangat bermanfaat (kerana) kita boleh mencipta keuntungan yang lebih besar,” katanya.
Menurutnya inisiatif itu bertepatan dengan hasrat menjadikan Melaka negeri teknologi hijau selain mengurangkan penggunaan elektrik dan perbelanjaan berlebihan.
Pada 2014, kerajaan negeri Melaka berhasrat menaik taraf sembilan bangunan kerajaan negeri dan anak syarikatnya termasuk Putra Specialist Hospital, Seri Negeri dan Melaka Sentral membabitkan peruntukan RM30 juta bagi mematuhi piawaian hijau antarabangsa.
Pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf bangunan itu dilakukan secara berperingkat dengan peruntukan disalurkan kerajaan Denmark melalui Danish Energy Efficiency Partners.
Dalam pada itu, Idris berkata kerajaan negeri serius menjadi peneraju inovasi signifikan dan berimpak tinggi kepada negara termasuk pembangunan teknologi hijau seperti kempen tanpa beg plastik dan polisterin. – BERNAMA

