KUANTAN – Mayat seorang pelajar politeknik di Shah Alam yang dikhuatiri lemas semasa mandi di Pantai Cherating Lama di sini semalam, ditemui kira-kira pukul 7.15 pagi ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata mayat mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an itu dijumpai kira-kira 5 kilometer dari lokasi dia dipercayai lemas.
Mangsa difahamkan datang bercuti di sini bersama enam rakannya dan pantai itu menjadi destinasi mereka untuk mandi-manda.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh semalam berkata mangsa dipercayai lemas pada pukul 2.15 petang, dipercayai akibat ditarik ombak.
Rakan mangsa yang tidak berjaya mencari mangsa membuat laporan polis dan operasi menyelamat dilakukan dengan bantuan JBPM Pahang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta penduduk kampung. – BERNAMA

