KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi jaminan kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jika Pakatan Harapan berjaya memerintah negara ini.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kerajaan DAP Pulau Pinang konon mampu memberi BR1M kepada rakyat negeri itu walaupun tanpa mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Pulau Pinang boleh berjaya walaupun tanpa GST. Malah, kami boleh meneruskan pembayaran BR1M tanpa GST,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan Guan Eng itu sangat berbeza dengan pendirian Pakatan Harapan selama ini yang menuduh kononnya BR1M yang bertujuan membantu rakyat sebagai tidak mendatangkan manfaat dan berunsurkan rasuah.
Beliau dalam pada itu mendakwa seluruh rakyat Pulau Pinang kononnya hidup dengan penuh kebebasan, keadilan dan hak sama-rata tanpa mengira agama dan kaum sejak diperintah oleh DAP.
Dakwa beliau, pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang berbeza dengan kerajaan Malaysia yang mengamalkan pemerintahan ala Mafia.
“Itulah sebabnya tidak ada demokrasi sebenar di Malaysia apabila satu-satunya kebebasan adalah kebebasan untuk benci, menipu dan takut.
“Keadilan adalah untuk golongan elit, mengamalkan pilih kasih dan pendakwaan terpilih” dakwanya.
Ironi, penduduk Pulau Pinang maklum layanan diskriminasi kerajaan negeri itu terhadap masyarakat Melayu apabila banyak perkampungan tradisional dihapuskan dan peniaga Melayu diusir.
Guan Eng pada 30 Jun lalu malah menghadapi tuduhan rasuah dan salah guna kuasa di Mahkamah Pulau Pinang namun beliau mengaku tidak bersalah. – Mynewshub.cc
