BEKAS wanita paling gemuk di dunia, Catrina Raiford, 40, kini sedang mencari cinta selepas berjaya menurunkan berat badan daripada 453kg kepada 258kg.
Catrina, yang berasal dari Florida namun berpindah ke Texas, telah mencuba nasib mencari kekasih menerusi dating aplikasi, Tinder.
Dia menjadi perhatian pada 2001 apabila jentolak terpaksa digunakan untuk mengangkatnya ke hospital selepas mengalami sesak nafas.
Disebabkan badannya yang gemuk itu, Catrina terpaksa menghabiskan masa selama lima tahun di atas katil. Dia tidak dapat bergerak dan bergantung kepada ibunya untuk makan.
Disebabkan sukar bergerak, dia yang menggelar dirinya sendiri sebagai `perempuan setengah tan’, telah berikrar untuk menurunkan berat badan.
Jika sebelum ini dia menggunakan gambar wanita lain yang lebih kurus ketika bersembang di media sosial, kinia Catrina menggunakan gambar sendiri.
Dia telah beberapa kali keluar dengan lelaki yang ditemuinya dalam aplikasi berkenaan namun tiada satu pun yang berjaya membuka hatinya.
Catrina kini banyak menghabiskan masa di gim dan dia kini sudah mampu bergerak, tidak lagi terlantar di tempat tidur. Dia bagaimanapun amat berharap kulit lebihan seberat 63kg dapat dibuang menerusi pembedahan.
Selain itu Catrina juga mahu melakukan pembedahan bagi membentuk semula payu daranya namun pakar bedah hanya bersetuju melakukannya jika lebihan kulit di badannya dibuang.
“Saya berada di atas katil untuk tempoh yang panjang, kini saya mahu bebas,’’ katanya yang mula mengalami masalah berat badan ketika berusia 12 tahun. – mynewshub.cc

