PADANG BESAR – Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) Perlis merampas 380 kilogram daun ketum bernilai anggaran RM19,000 di sebuah rumah usang dekat Mata Ayer di sini tengah malam tadi.
Komander AKSEM Perlis, DSP Syed Basri Syed Ali berkata rumah kosong itu dipercayai dijadikan stor tempat penyimpanan daun ketum tersebut sebelum diseludup ke negara jiran.
“Semasa rondaan berkala oleh anggota risik Aksem pada 12.30 tengah malam tadi, anggota mendapat maklumat daripada orang awam tentang lokasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas rumah tersebut, didapati terdapat 13 guni putih yang di dalamnya ialah daun ketum segar,” katanya.
Tiada tangkapan dilakukan dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

