KUALA LUMPUR – Enam wanita antara 49 individu ditahan polis dalam Op Dadu Limau di sekitar Negeri Sembilan dan Lembah Klang, yang bermula sejak semalam sehingga awal pagi tadi.
Dalam operasi selama 12 jam oleh Pasukan Taktikal Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman, yang berakhir pada pukul 2.30 pagi tadi, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM141,033 dan cek bernilai RM125,000.
Ketua Penolong Pengarahnya, SAC Khairi Ahrasa berkata lokasi yang diserbu ialah kawasan hutan di Bukit Sendayan dan Teluk Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan; Taman Seri Andalas, Batu Arang dan Seri Kembangan di Selangor.
Beliau berkata kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 33 hingga 57 tahun itu melibatkan 43 kaki judi dan enam penganjur terdiri daripada warga tempatan dan juga tiga warga Indonesia.
“Berdasarkan risikan, kami mendapati kawasan hutan di Sendayan dijadikan lokasi khas perjudian sejak tiga bulan lepas.
“Mereka (kaki judi) perlu melalui lorong tanah merah sejauh tiga kilometer dari jalan utama sebelum tiba di sana,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Khairi berkata ketika serbuan dijalankan, kesemua kaki judi bertempiaran lari ke dalam hutan malah ada yang gagal dikesan.
“Hasil serbuan kami menemui tiga khemah yang dibina khas bagi aktiviti perjudian holo, bola golek dan laga ayam.
“Selain itu, kami juga merampas pelbagai peralatan perjudian, satu set buah paikaw, kanvas permainan judi holo dan bola golek, buah dadu, daun terup serta kertas lakaran untuk perjudian,” katanya.
Beliau berkata kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 6(1), Seksyen 7(2), Seksyen 4A dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala siasatan terhadap warga asing dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
“Kesemua mereka diserahkan ke Balai Polis Mambau, Jabatan Siasatan Jenayah Klang Selatan dan Port Dickson untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – BERNAMA