IPOH – Dua maut manakala seorang cedera ringan dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 23 Jalan Labu Kubong-Teluk Intan, dekat Teluk Intan, hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Yusof Ishak, 30, dari Simpang 4 Balai Polis Kampung Redang Punggor, Chenderong Balai dan Mohd Iskandar Shah Abdul Ahmad, 17, dari Simpang 3 Kampung A/C Beit Labu Kubong, Chenderong, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Wan Hassan Wan Ahmad berkata siasatan awal mendapati, ketika kejadian, Mohd Yusof yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y125 dalam perjalanan menghala ke Chenderong Balai dari Labu Kubong dipercayai bertembung dengan motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang Mohd Iskandar Shah.
“Akibat kemalangan itu, Mohd Yusof tercampak ke dalam gigi parit berair dengan kedalaman kira-kira tujuh meter manakala Mohd Iskandar Shah telah jatuh di atas jalan menghala ke Labu Kubong.
Kemudian sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu seorang guru wanita berumur 29 tahun tidak sempat mengelak dan membrek lalu melanggar Mohd Iskandar Shah. Dalam masa yang sama, datang seorang pelajar lelaki yang menunggang motosikal jenis Modenas Ct100 tidak sempat membrek dan melanggar belakang kereta wanita itu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Menurut beliau, wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pelajar lelaki mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Klinik Chenderong Balai.
Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat, katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

