PELAKON dan pengacara, Yatt Hamzah telah pun selamat melahirkan cahaya mata keduanya, kira-kira jam 9.14 pagi tadi.
Yatt melahirkan bayi perempuan seberat 3 kilogram (kg) di Pusat Perubatan Naluri, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Cahaya mata ini merupakan hasil perkahwinan kedua Yatt bersama juruvideo, Mohammad Zulfadhli Khiruddin yang dinikahi Februari lalu.
“Isteri saya dimasukkan hospital sejak semalam. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya sendiri menyaksikan perjuangan isteri melahirkan bayi di bilik pembedahan.
“Ia momen yang cukup indah dan berharga. Perasaan bercampur baur. Saya gembira, teruja dan bersyukur pada masa sama,” katanya kepada BH Online.
Sementara itu, Zul turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan isteri dan anaknya.
Buat masa ini, pasangan ini masih belum memutuskan nama untuk bayi mereka.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Yat dikurniakan seorang anak perempuan, Suci Hanania Malika berusia enam tahun. – MYNEWSHUB.CC