KEMAMAN – Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengambil langkah segera dalam memastikan sistem saliran lancar di kawasan dikenal pasti sering dilanda banjir.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata JPS telah menjalankan kerja pembersihan di kawasan saliran bagi melancarkan aliran air ke sungai utama.
“Kita juga telah mengambil langkah jangka masa pendek dan jangka panjang dalam mengatasi masalah banjir terutamanya di daerah yang sering dinaiki air,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Balai Raya Kampung Padang Kemunting, Kijal di sini, hari ini.
Katanya pihaknya juga telah meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meneliti semua aspek termasuk sistem saliran sebelum projek perumahan berskala besar dilaksanakan.
“Di Kemaman ini, pembangunan pesat dijalankan terutamanya perumahan… kalau saliran tak disiapkan lebih awal, ia memungkinkan kepada permasalahan kemudian,” katanya.
Mengulas mengenai banjir di daerah ini, Wan Nawawi berkata pihaknya berpuas hati dengan urusan perpindahan mangsa banjir yang dilakukan dengan lancar dan bantuan diberikan dengan pantas.
“Alhamdulillah mangsa dipindahkan dengan segera dan bantuan dapat disampaikan dengan segera, di pusat pemindahan ini pun saya lihat mangsa banjir agak selesa meskipun dalam kesusahan.
“Kalau tiada hujan lebat untuk beberapa hari ini, Insya-Allah keadaan akan kembali pulih,” katanya.
Sementara itu, Amran Draman, 46 dari Kampung Padang Kemunting berkata dia dan tujuh anggota keluarganya terpaksa berpindah setelah kawasan rumahnya dinaiki air setinggi 1.3 meter awal pagi tadi.
“Memang setiap tahun saya dan keluarga terpaksa berpindah sebab rumah memang hampir dengan sungai,” katanya yang telah 18 tahun tinggal di kampung itu. – BERNAMA

