SATU pergaduhan tercetus di sebuah pasar raya gara-gara seorang lelaki berang apabila seorang wanita tidak sengaja menumpahkan air ke atasnya dan terpaksa menunggu selama 20 minit untuk membuat bayaran di kaunter.
Metro UK melaporkan kejadian itu berlaku di Poplar Plaza Kroger, Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat.
Pelanggan wanita yang dikenali sebagai Megan Wilson merupakan seorang pengumpul kupon tegar manakala individu lelaki itu pula tidak didedahkan identitinya.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup CCTV yang dikongsi, Megan secara tidak sengaja menumpahkan air ke arah pelanggan lelaki itu ketika dia hendak meninggalkan kaunter bayaran.

Individu berkenaan bertindak menyerang Megan dengan menghentak kepalanya pada troli pasar raya tersebut.
“Apabila saya berpaling untuk meninggalkan kaunter itu, saya tertumpahkan air ke atasnya.
“Dan saya berkata ‘maafkan saya’ lalu menolak troli untuk beredar sebelum lelaki itu secara tiba-tiba memegang belakang kepala saya dan menghentakkannya ke troli tersebut,” jelas Megan.
Tambah Megan lagi, lelaki itu menggelarnya ‘penagih dadah’ setelah melihatnya membayar barangan yang dibeli menggunakan kupon sambil berkata dengan nada suara yang tinggi: ” Tolong cepat sikit, tiada masa untuk semua ini.”
Menurut pihak polis, Megan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan calar pada bahagian muka namun enggan mendapatkan rawatan.
Salah seorang anggota polis itu memberitahu pihaknya berharap dapat mengesan segera suspek yang berlalu meninggalkan tempat kejadian dengan memandu sebuah trak Ford F-150. – MYNEWSHUB.CC

