BUTTERWORTH – Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM14.44 juta menerusi Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) bagi menyiapkan 33 projek di Pulau Pinang sejak 2013 hingga tahun ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kesejahteraan Bandar) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimi Abdul Manaf berkata perbelanjaan itu adalah pembiayaan 100 peratus untuk membaik pulih kediaman berstrata.
“Rakyat tidak perlu mengeluarkan belanja 10 peratus daripada nilai projek baik pulih seperti sebelum ini. Program TP1M membantu meningkatkan kualiti hidup dan keselesaan penghuni kediaman berstrata kos rendah dan kos sederhana rendah swasta melalui program penyelenggaraan harta bersama.
“Penyelenggaraan TP1M melibatkan 10 skop kerja utama iaitu pembaikan atau penggantian lif, bumbung, tangki air, sistem sanitari, tangga, mengecat,
membaiki kerosakan am yang melibatkan harta bersama dan pendawaian semula elektrik serta pembaikan atau pembinaan pagar dan cerun yang berada dalam kawasan pemajuan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Transformasi Sosial Strategi Lautan Biru Kebangsaan: Kejiranan Indah di Pangsapuri Indah 1A dan 1B Teluk Air Tawar di sini, yang dirasmikan anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya.
Sementara itu, Halimi berkata RM1.96 juta dibelanjakan untuk membaik pulih Pangsapuri 1A dan 1B Teluk Air Tawar di bawah inisiatif TP1M yang bermula pada 2014 dan siap sepenuhnya awal tahun ini.
Pangsapuri dua blok itu mempunyai 236 unit buah rumah serta didiami 944 penghuni, katanya.
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Indah 1A dan 1B Teluk Air Tawar Ismail Salleh berkata beliau mewakili penduduk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memilih pangsapuri mereka untuk dijadikan projek TP1M.
Katanya menerusi projek itu, kawasan pangsapuri mereka bertukar menjadi sebuah kejiranan indah yang ceria serta lengkap dengan bangunan yang dicat semula, membaiki tangki air, menukar bumbung baharu dan sistem paip.
“Kami juga berbangga kerana pangsapuri kini dilengkapi sistem lif yang lebih baik termasuk pemasangan kamera litar tertutup di dalamnya, dan skrin di luar lif yang membolehkan penduduk melihat sendiri kejadian yang berlaku di dalam lif sekali gus mengurangkan kadar jenayah,” katanya. – BERNAMA