KLIP video berdurasi 30 saat memaparkan seorang kanak-kanak ditimpa runtuhan pintu kaca sebuah kedai menjual telefon bimbit tersebar luas menjadi tular menerusi laman sesawang China.
Rakaman itu dikongsi oleh laman Youku iaitu sebuah laman perkongsian video popular di negara itu mendakwa insiden itu berlaku pada pukul 5 petang di bandar Meishan daerah Renshou wilayah Sichuan pada 18 Disember lalu.
Menerusi klip yang tersebar, kanak-kanak yang memakai baju sejuk berwarna biru dilihat menolak pintu kaca premis itu sebelum ianya tiba-tiba pecah berderai dan menimpanya.
Kanak-kanak yang menjadi mangsa insiden itu ditemani lelaki dan wanita dewasa ketika memasuki premis berkenaan.
Wanita dewasa itu dilihat dengan pantas tunduk untuk memeriksa keadaaan kanak-kanak itu malah seorang kakitangan premis itu juga dirakam bergegas untuk membantunya.
Menurut kenyataan yang dimuat naik oleh laman Youku, kanak-kanak itu mengalami kecederaan dan dibawa ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan.
Kes berkenaan sedang disiasat oleh pihak berkuasa tempatan dan sekiranya mangsa disahkan mengalami kecederaan, pihak premis itu bakal didakwa bertanggungjawab di atas kecelakaan yang berlaku.
Pada Ogos lalu kejadian serupa berlaku di bandar Guangzhou, selatan China melibatkan seorang kanak-kanak dihempap cermin kaca ketika bermain menyebabkannya mengalami kecederaan di kepala sehingga menerima enam jahitan. – MYNEWSHUB.CC