NEW DELHI – Persatuan Telugu Malaysia (TAM) menganjurkan lawatan ke selatan India untuk sekumpulan pelajar bagi memperkenalkan kebudayaan Telugu kepada mereka.
Pelajar Malaysia berkenaan belajar mengenai warisan kebudayaan negeri Telangana dan Andhra Pradesh.
Lawatan selama seminggu itu ditaja oleh Telangana Jagruthi, organisasi sosio-budaya yang diketuai oleh anggota Parlimen India, Kalvakuntla Kavitha, yang berobjektif mempromosikan kebudayaan Telugu di India dan luar negara.
“Ini merupakan peluang keemasan bagi kanak-kanak berkenaan untuk belajar tentang kebudayaan dan warisan yang terdapat di tanah air nenek moyang mereka,” kata Pegawai Persatuan Telugu Malaysi,a A.D.R. Naidu kepada akhbar The Hans India.
Kavitha, yang merupakan wakil rakyat kawasan Nizamabad dalam Parlimen India kagum dengan persembahan pelawat Malaysia itu.
“Seronok menyaksikan persembahan kebudayaan oleh pelajar Telugu Malaysia, usaha keras dilakukan oleh kalangan ibu bapa dalam menerapkan kebudayaan kita di dalam diri mereka,” kata beliau dalam Twitter pada 22 Dis.
Persatuan Telugu Malaysia mewakili kira-kira 500,000 komuniti Telugu di Malaysia. – BERNAMA