LONDON – Penyanyi rok veteran Britain berusia 73 tahun, Mick Jagger, yang sudahpun bercicit dan mempunyai tujuh anak, sekali lagi bergelar ayah.
Teman wanita Jagger, penari balet berusia 29 tahun, Melanie Hamrick, selamat melahirkan anak lelaki mereka di New York semalam, menurut satu kenyataan oleh penyanyi itu.
Jarak usia antara anak lelaki yang baru ditimang Jagger dengan cicit perempuannya hanya sekitar dua setengah tahun. Cicit Jagger dilahirkan pada Mei 2014.
“Anak lelaki Melanie Hamrick dan Mick Jagger dilahirkan hari ini di New York dan kedua-dua mereka amat gembira. Mick berada di hospital untuk kelahiran anaknya. Kedua-dua ibu dan bayi sihat dan kami meminta media menghormati privasi mereka sekarang ini,” kata pegawai seranta Bernard Doherty.
Jagger, penyanyi kugiran Rolling Stones, sudahpun mempunyai tujuh anak berusia 17 hingga 46 tahun hasil hubungannya dengan empat wanita sebelum ini dan mereka adalah Karis, Jade, Elizabeth, James, Georgia, Gabriel dan Lucas.
Beliau mempunyai lima cucu dan sejak Mei 2014, seorang cicit setelah cucu perempuannya Assisi melahirkan anak perempuan.
Jagger mula berpacaran dengan Hamrick tidak lama selepas teman wanitanya, L’Wren Scott, yang bersama beliau selama 13 tahun, membunuh diri pada 2014.
Pada Ahad lalu, album studio Rolling Stones yang baru, ‘Blue & Lonesome’ dijangka menduduki tangga teratas carta album Britain.
Ia merupakan album studio pertama kugiran itu dalam lebih sedekad. – AFP

