KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika keluar memancing bersama rakannya di Sungai Lut, belakang kilang kelapa sawit Felda Jerangau Barat, di sini.
Mangsa yang dikenali sebagai Satar Ali,45, pada mulanya dikatakan memasuki kawasan itu bersama empat lagi rakannya kira-kira pukul 2 petang semalam.
Bagaimanapun kira-kira pukul 5.30 petang mangsa yang berasal dari Kampung Peris, Hulu Terengganu itu telah berpecah daripada kumpulan rakan-rakannya semasa memancing.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata rakan-rakannya cuba mengesan mangsa sehingga pukul 11.00 malam tadi namun gagal menemuinya.
Katanya sejurus menerima maklumat pasukan keselamatan terdiri daripada polis, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung mengaktifkan operasi mencari kira-kira pukul 11 pagi tadi.
“Kita menerima laporan kira-kira pukul 10.30 pagi tadi dan 30 minit selepas itu kita terus melaksanakan operasi pencarian di kawasan hutan berhampiran sungai tersebut dengan kekuatan serama 53 orang,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.
Katanya pihak yang terlibat dalam operasi pencarian dipecahkan kepada tiga kumpulan dan jarak pencarian merangkumi sejauh lima kilometer sehingga ke jalan utama.
“Operasi berkenaan ditangguhkan pada pukul 6.30 petang tadi ekoran cuaca gelap dan akan disambung pada pukul 8 pagi esok,” katanya. – BERNAMA

