GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan kerja mengorek pasir dan melombong di Tanjung Bungah, di sini walaupun terdapat desakan untuk menghentikannya atas isu alam sekitar.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata kerja mengorek di Tanjung Bungah perlu bagi membersihkan muara sungai untuk memastikan aliran sungai yang lancar.
Katanya kerja mengorek pasir di tiga sungai di Tanjung Bungah adalah bagi membolehkan aliran yang lebih lancar kerana dihalang oleh pasir dan ia akan diteruskan untuk dua minggu lagi.
“Kami perlu membersihkan kawasan muara di Sungai Kelian, Sungai Emas dan Sungai dari semasa ke semasa untuk memastikan aliran air yang lancar serta mengurangkan pencemaran di kawasan itu.
“Pada masa sama, kita memerlukan pasir untuk projek memulihara pantai di Batu Ferringhi, jadi kita akan mengangkut pasir dari situ,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek pemuliharaan pantai Batu Ferringhi di sini hari ini.
Katanya kerja pemuliharaan pantai Tanjung Bungah akan bermula dan dijangka mengambil masa seminggu, sebaik kerja mengorek di situ selesai.
Minggu lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta kerajaan negeri menghentikan kerja mengorek pasir dan melombong di Tanjung Bungah yang dikatakan memusnahkan kawasan pantai di situ.
Sementara itu, jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang, Haslinda Mohd Hamran berkata projek pemuliharaan pantai dan sungai itu yang membabitkan kos RM10.85 juta, dijangka siap hujung bulan ini.
Katanya kerja-kerja pembetungan di muara di Sungai Batu Ferringhi dan Sungai Satu adalah untuk memastikan aliran air di sana lancar kerana sering tersekat oleh pasir yang dibawa ketika air pasang.
“Selain kerja pemuliharaan pantai untuk mengurangkan hakisan di kawasan itu, pembetungan di muara sungai tersebut akan dipanjangkan sejauh 120 meter ke laut manakala bahagian atasnya boleh digunakan sebagai jambatan untuk pelawat menyeberangi sungai,” katanya.
Beliau berkata projek itu juga merangkumi pemasangan paip yang akan digunakan untuk melepaskan sisa buangan dari loji Indah Water Konsortium (IWK) yang berdekatan. – BERNAMA

