SEKALI air bah sekali pasir berubah.
Begitulah sikap kita; sangat mudah memberikan reaksi, dan kemudian mengabaikan reaksi sendiri.
Isu Rohingya – bukan isu baharu. Sekali pun Perhimpunan Solidariti Ummah Demi Rohingya dianjurkan pada 4 November lalu di Kuala Lumpur, kita jadi tepu dalam konteks istiqamah memperjuangkan suara protes demontrasi tersebut.
4 November bukan kali pertama kita bertindak tunjuk rasa. Pada 2012, ketika pembantaian besar-besaran dilakukan terhadap etnik Rohingya di Arakan yang membabitkan aksi ganas tentera Myanmar dan sami Buddha serta puak separa tentera, kita sudah memberikan reaksi agresif dan sangat marah.
Masjid bertindak memganjurkan protes aman selepas solat Jumaat. Kecaman demi kecaman dilemparkan. Malah, pelbagai tindakan menyuarakan bantahan dilakukan secara terbuka, setelah tersebar berita kekejaman terhadap minoriti Islam di Arakan.
Paling tragik, apabila foto bayi dibakar di atas zink tersebar dan ia menyebabkan kita menyuarakan rasa kemarahan yang bukan kepalang.
Namun, selepas itu selama empat tahun kita berdiam diri. Hinggalah pada minggu terakhir Oktober lalu, Rohingya kembali menggegarkan sentimen ummah dan siratulrahim kita semua.
Berita dan foto bukti kejadian pembantaian serta pembunuhan etnik Rohingya tersebar lagi.
Kali ini lebih kejam. Foto-foto korban pembunuhan termasuk wanita dan kanak-kanak disebarkan Arakan News Agensi. Puluhan mayat dengan kesan tetakan senjata tajam tersiar di media arus perdana. Hasil tularan di media sosial.
Justeru, 4 November, 20 ribu orang berkumpul di Stadium Titiwangsa dan bersolidariti demi Rohingya. Ia menjadi agenda negara dengan turut disertai Perdana Menteri dan Presiden Pas serta puluhan pemimpin NGO.
Namun setelah dua minggu membuak, ia kembali senyap dan mulai berubah manjadi isu suam-suam kuku. Media arus perdana yang gesir mempromosi isu Rohingya pada awalnya, pun turut menyepi.
Kita hanyut dan mula memberikan reaksi pada susuran isu lain pula.
Segala macam isu yang menarik minat kita; tidak kiralah domestik atau dunia.
Rohingya pun balik dalam kitaran lapuk; jadi isu beku di dalam peti sejuk. Kita terus menanti detik hingga datang kejutan seterusnya.
Beginilah cara kita meladeni isu ummah. Kita sangat istimewa dalam bangkit menyuarakan protes. Namun tidak lama kemudian, kita letih sendiri untuk meneruskannya.
Kita memang ada masalah besar dengan sikap Istiqamah. Atau kita memang suka memberikan reaksi pada saat isu memuncak dan bernilai popular!

