JOHOR BAHRU – Jenazah Allahyarham Muhammad Farhan Na’imullah Zubir, 26, yang mati lemas di Melbourne, Australia, baru-baru ini, dijangka tiba di tanah air pada Rabu (21 Disember).
Menurut bapa Allahyarham, Zubir Ahmad, 53, jenazah baru sahaja selesai dibedah siasat hari ini dan sedang menunggu proses untuk dihantar pulang.
Zubir berkata, urusan untuk membawa pulang jenazah memakan kos sebanyak RM50,000 dan sehingga kini, mereka berjaya mengumpul hanya RM46,000, hasil sumbangan dan pinjaman daripada keluarga dan rakan-rakan.
Bercakap kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini Zubir berkata, ibu dan bapa saudara Allahyarham iaitu Maznah Salim, 62, dan Osman Ahmad, 59, bertolak ke Melbourne pada Khamis lepas.
Katanya, urusan melibatkan dokumen penghantaran Jabatan Imigresen dan Kastam juga telah diselesaikan oleh Kedutaan Malaysia di Australia.
Zubir, penolong pengurus kilang di Pasir Gudang di sini, turut memaklumkan bahawa Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) akan menyalurkan bantuan RM10,000.
Anggota Parlimen Pulai merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkunjung ke rumah keluarga berkenaan hari ini.
Nur Jazlan berkata beliau akan membantu apa jua keperluan termasuk dana tambahan yang diperlukan keluarga mangsa.
Muhammad Farhan, anak kedua dari tujuh beradik, bekerja sebagai pengutip buah di Farm Buffalo Orchad, Melbourne, dan ditemui mati lemas ketika mandi di Sungai Ovens berhampiran rumah sewanya.
Mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat Australia kira-kira pukul 8.00 malam (waktu tempatan) Selasa (13 Disember) selepas dihanyutkan arus deras. – BERNAMA

