PAGI Sabtu, Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi gamat apabila wakil Negeri Sembilan, Syamsul Amri Ismail tampil membahaskan usul agama dan pendidikan.
Dengan ucapan yang penuh gurauan dan sindiran tetapi membawa maksud yang mendalam, penceramah motivasi terkenal menerusi stesen TV AlHijrah itu malahan turut menyelitkan ucapan beliau dalam loghat Negeri Sembilan.
Ketika itu, beliau yang juga dikenali sebagai ‘Syamsul Debat’ secara bersahaja menasihatkan ahli dan pemimpin UMNO untuk menghayati perjuangan parti mengikut landasan Islam dan meninggalkan perkara dilarang agama.
Jelasnya ketika berucap pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO itu, sebagai parti yang perjuangannya bela agama, bangsa dan tanah air, UMNO perlu bersikap seperti orang beriman berdasarkan syariat digariskan Islam.
“Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berpesan, tiga tanda orang yang beriman itu ialah taat kepada Allah, menjauhkan perkara haram dan berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita,” kata Syamsul Amri.
“Dalam hal berbuat baik ini, saya bukan hendak bodek atau apa, tetapi saya hendak terus terang, Perdana Menteri yang juga Presiden kita ini, kalau orang ‘balun’ dia, dia tetap macam itu saja (tenang),” tambah beliau lagi.
“Kalau kita, tak tahulah apa jadi. Mungkin sekejap jadi merah, sekejap jadi hijau. Tapi apa yang saya nak sebutkan, kita harus terus berbuat baik kerana sebaik-baik manusia ialah yang boleh beri manfaat kepada orang lain,” ujarnya.

Syamsul Amri turut menyatakan bahawa UMNO perlu bijak dalam bantu rakyat untuk berdepan dengan kesan krisis ekonomi global yang memberi impak besar kepada kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah di negara ini.
“Ini yang sedang berlaku kepada masyarakat dan kita juga perlu bantu. Kalau Datuk Seri (Najib Tun Razak) selaku Presiden parti boleh memetik kata-kata (dialog) Nordin Ahmad dalam salah satu filem lakonannya.
“(Sambil meniru suara Nordin Ahmad) Ku sangkakan nanas atas permata, rupanya durian tajam berduri. Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari,” ucapannya disambut tepukan gemuruh perwakilan.
Kemunculan Syamsul Amri membahaskan usul turut mencuri perhatian para perwakilan. Difahamkan ia adalah kali pertama beliau muncul di atas pentas perbahasan bercakap sebagai wakil UMNO negeri Adat Perpatih itu.
Beliau merupakan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Seremban membuat pelbagai pesan dan mesej kepada para ahli, perwakilan dan pemimpin UMNO untuk terus memelihara nilai-nilai baik yang sudah sedia ada dalam parti.
Syamsul Amri berkata parti UMNO sudah sampai masanya menjadi lebih inklusif (bersama-sama) dan tidak lagi menjadi sebuah parti eksklusif dalam erti kata ia perlu banyak ‘turun padang’ untuk bersama-sama masyarakat.
“Sekarang ini sudah bukan masa kita untuk mengatakan, berapa banyak masjid kita bina? Kita kena campur masyarakat, kita kata berteraskan parti Islam, Subuh tak pernah sampai (masjid),” katanya dalam ucapan bahasnya.

“Tiga benda Allah akan tanya, pertama nikmat, Macam mana kau guna nikmat dulu? Kedua tentang amanah, kau boleh jaga tak amanah? Ketiga silaturrahim, jangan sesekali kita memutuskan silaturrahim,” jelas beliau lagi.
Syamsul Amri berkata untuk menyelamatkan UMNO supaya terus kekal relevan, semua pihak di bawah naungan parti keramat terbesar umat Melayu di dunia itu mesti melihat kepada tiga perkara yang mempunyai nilai penting.
“Orang UMNO ingat tiga perkara, nak selamat kita dan parti kena buang tiga perkara, pertama jangan ambil hak orang, kerana Nabi sabda, orang tamak sempit lubang kubur sampai selisih tulang rusuk, tak berbaloi kalau tamak.
“Jangan dengki dan syukur dengan apa kita ada… Bahagia ini bukan melihat apa yang kita ada tetapi sikap kita terhadap apa kita ada. Ketiga perbuatan kita biarlah melambangkan ketundukan kepada yang bagi nikmat,” katanya.
Mengulas berkaitan pindaan akta berkaitan pemerkasaan mahkamah syariah atau disebut RUU 355 pula, jelas Syamsul Amri, perkara ini telah dipolitikkan sehingga mereka yang bukan beragama Islam menjadi terkeliru.
Akta itu bertujuan memperkasakan agama Islam kerana ia adalah agama rasmi negara ini. Beliau turut menyelitkan bait-bait lagu Warisan ciptaan Tan Sri Nordin Kardi bagi membangkitkan keinsafan dan semangat perwakilan.
Presiden UMNO serta Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga tidak tertahan tertawa dengan kelucuan ucapan Syamsul Amri. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA