Sunday, July 21, 2024

Creating liberating content

Unit Anjing, Bot Kesan...

KUALA LUMPUR - Kaedah pemantauan menggunakan bot dan anjing pengesan digunakan dalam operasi...

Kes Ala “Menate” Azwan...

BILA dah bergelar selebriti ni, apa sahaja yang kita lakukan past jadi perhatian...

Xiaomi Mi Band Plus,...

XIAOMI hari ini secara rasminya telah memperkenalkan Mi Band generasi baru mereka, dinamakan...

Polis Siasat Kes Sebar...

KUALA LUMPUR - Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes penyebaran senarai nama 121...

Peluang Bertemu Penguin Antartika Di Muzium Negara

KUALA LUMPUR – Melihat maskot penguin di ruang legar Muzium Negara baru-baru ini terus mengingatkan penulis tentang siri kartun burung penguin nakal “pingu”.

Selain maskot itu, satu diorama dengan 20 arca penguin yang comel membuatkan pengunjung seolah-olah berada di tengah-tengah kawasan dipenuhi ais yang membeku.

Kesemua arca penguin itu adalah daripada spesies emperor, salah satu daripada 17 spesies penguin di dunia yang hanya terdapat di benua Antartika.

Ikon benua paling sejuk dan kering di dunia itu dibawa oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dalam pameran “Khabar dari Antartika”.

Pameran itu berlangsung dari 21 Nov hingga 4 Dis ini.

Ia menjadi jalan pintas masyarakat mengenali Antartika kerana jarak sejauh 9,804 kilometer antara Antartika dengan Malaysia bukan lagi halangan untuk memahami dan mengenali kepentingan benua yang menjadi makmal semulajadi ribuan penyelidik seluruh dunia.

Apa yang menarik tentang maskot penguin ialah lelaki yang yang mengenakan kostum tersebut mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Antartika.

Beliau ialah Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir yang pernah menjejakkan kaki ke benua paling selatan dan ke lima terbesar di dunia itu pada Januari lepas bersama sekumpulan lapan penyelidik dari Malaysia.

Beliau mahu menggunakan pendekatan santai dalam menerangkan kepada pengunjung tentang kepentingan Antartika.

Pengarah Institut Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu tidak lokek berkongsi pengalamannya sepanjang 33 hari berada di sana serta menerangkan perubahan di Antartika akibat perubahan iklim dunia hari ini dengan tempiasnya dirasai seluruh dunia.

“Walaupun nampak mudah, hanya menyarungkan kostum penguin pada badan tapi jika tidak biasa seperti saya rasa tidak selesa juga,” ujarnya yang juga pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Teknologi UKM.

Tidak kisah jika ada yang memperlekehkan usahanya menjadi maskot penguin untuk tempoh lebih kurang 6 jam, jelas beliau niatnya hanya satu untuk memberi kesedaran kepada pengunjung terutama pelajar dan kanak-kanak tentang Antartika.

Cara begini (menggunakan maskot) lebih dekat dengan dunia kanak-kanak, katanya.

Selain beliau, pelajarnya juga turut bergilir-gilir menjadi maskot sepanjang pameran itu berlangsung.

“Seronok dapat berbual dan bertemu pengunjung yang datang ke muzium terutama pelajar untuk berkongsi sedikit pengalaman di Antartika.

“Masyarakat perlu diberi pendedahan dan kesedaran untuk sama-sama menjaga alam ini agar setiap tindakan kita tidak memberi kesan buruk jangka panjang kepada Antartika yang akan membawa kesan kepada alam,” katanya.

Pemilihan arca Penguin Emperor mempunyai keunikannya tersendiri.

Menurut Mohd Nasaruddin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif YPASM, ia adalah simbolik rayuan benua Antartika kepada masyarakat dunia supaya dapat bertindak segera dalam menangani isu perubahan iklim yang sangat memberi impak kepada benua itu.

Penguin Emperor juga adalah penguin paling besar dalam keluarga penguin dan tinggal di kawasan berais di tengah-tengah benua Antartika.

Habitat ini sudah semestinya akan terjejas dengan pencairan ais di Antartika.


Peranan Antartika dalam mengawal keseimbangan suhu dunia perlu difahami setiap individu dan bersama-sama memainkan peranan menjaga alam ini agar tidak memberi kesan kepadanya.

Penyelidik Universiti Kebangsaan Australia dan Tinjuan Antartik Britain baru-baru ini menemui data menunjukkan pencairan ais di Antartika adalah 10 kali lebih pantas sejak 50 tahun lepas berbanding 600 tahun lalu.

Ia disebabkan peningkatan suhu bumi akibat penipisan laporan ozon, yang seterusnya membawa implikasi perubahan iklim dunia termasuk ketidaktentuan dalam putaran musim terutamanya kemarau dan hujan yang datang secara tiba-tiba.

Aktiviti manusia antaranya penebangan hutan tanpa kawalan untuk pembangunan, pembebasan gas rumah hijau semuanya menyumbangkan kepada perubahan itu.

Kajian saintifik antarabangsa menunjukkan kira-kira 18 peratus daripada permukaan bumi Malaysia berkemungkinan tenggelam menjelang tahun 2100.

Masyarakat harus sedar kenaikan paras laut hasil pencairan ais di Antartika akan memberi kesan langsung kepada Malaysia yang dikelilingi lautan, katanya.

Berdasarkan kepada keadaan bentuk muka bumi yang rendah, Kedah dikenalpasti sebagai antara lokasi yang berisiko tinggi untuk tenggelam.

Selain itu, kenaikan paras air laut tertinggi juga dijangka berlaku di Johor, Kelantan, Sarawak dan Sabah.

“Semua dapatan ini kita pamerkan untuk pengetahuan umum. Dengan cara ini diharapkan akan memberi kesedaran kepada masyarakat,” kata Mohd Nasaruddin.

Pengunjung juga boleh membuat akujanji dengan menandatangani papan putih yang disediakan sebagai simbol keprihatinan untuk sama-sama menjaga alam ini.

Pameran seterusnya akan diadakan di Muzium Semulajadi Putrajaya, bersama 49 arca penguin sebagai tarikan di sana.

Jumlah 49 penguin itu mengambil sempena keanggotaan Malaysia sebagai ahli ke-49 dalam Triti Antartika bermula tahun 2011, katanya.

“Sepatutnya di Muzium Negara juga kita pamerkan 49 arca penguin tetapi oleh kerana masalah kesuntukan masa, hanya dapat menyiapkan 20 arca sahaja,” kata Mohd Nasaruddin yang mendapat kepakaran daripada Muzium Negara untuk membina arca itu.

Triti Antartika ialah satu badan antarabangsa yang mengawalselia urus tadbir benua Antartika.

Kerajaan Malaysia melalui YPASM dan Mosti, katanya, memainkan peranan aktif dalam memastikan kelestarian benua Antartika melalui kajian penyelidikan dan penglibatan Malaysia melalui urus tadbir benua itu.

Terkini, Malaysia telah meratifikasi Protokol Madrid bagi Antartika berkuatkuasa 16 Sept 2016.

“Selain itu tahun hadapan, MOSTI dijangka membentangkan Rang Undang-Undang Antartika di Parlimen yang diharap akan membawa peranan yang lebih serius bagi Malaysia selepas ini,” katanya. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori