SERDANG – Bas pengantara akan ditambah bagi menghadapi pertambahan pengunjung pada tiga hari terakhir Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pelan kontingensi itu dirancang bagi mengurangkan masa menunggu pengunjung untuk melawat MAHA 2016.
“Kehadiran orang ramai terutama pada hujung minggu agak luar biasa. Sudah tentu, hal-hal berkaitan logistik ada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman antara Syarikat Jefi Aquatech Resources Sdn Bhd (JEFI) dan China ASEAN Marine Product Exchange (CAMPE).
MAHA 2016, yang merupakan ekspo pertanian terbesar Malaysia, berlangsung di MAEPS sejak 1 Dis hingga 11 Dis ini dengan tema ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’.
MAHA 2016 merekodkan 560,000 pengunjung pada Ahad lepas, jumlah pelawat harian tertinggi dicatatkan sejak acara bermula.
Ahmad Shabery berkata beliau juga telah berbincang dengan pihak berkuasa untuk mencari jalan menyuraikan kesesakan pengunjung.
“Saya juga telah mengadakan perjumpaan dengan pemandu bas dan tram dua hari lalu agar sentiasa bersabar, bersopan santun dan tidak menunjukkan rasa penat kepada pengunjung,” katanya. – BERNAMA