KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu akan mengambil pendekatan lebih tegas dalam mengutip tunggakan hasil dan bayaran balik pinjaman daripada pelbagai agensi negeri seperti disyorkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 2.
Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pihaknya sedang dalam perbincangan untuk mencari kaedah sesuai bagi tujuan itu memandangkan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.
“Mungkin kita boleh ambil balik duit itu dengan pelbagai cara bukan hanya dalam bentuk tunai tapi mungkin boleh ditukar menjadi projek dan perkara-perkara lain… ini yang sedang kita halusi dan teliti,” katanya ketika ditemui pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.
Menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, didapati kesemua Pejabat Tanah mencatatkan peningkatan tunggakan cukai tanah pada tahun 2015 dengan Pejabat Tanah Kemaman mencatatkan tunggakan tertinggi iaitu RM4.13 juta.
Selain itu, sejumlah RM5.0 juta hasil air yang sepatutnya diterima daripada Syarikat Air Terengganu (SATU) pada tahun 2014 masih tertunggak manakala baki tunggakan bayaran balik Hutang Awam meningkat kepada RM42.10 juta. – BERNAMA

