KUALA LUMPUR – Gandingan pemain berpengalaman, Shalin Zulkifli dan Siti Safiyah Amirah, meraih pingat emas dalam acara beregu wanita pada Kejohanan Tenpin Boling Komanwel ke-7 yang berlangsung di Northcliff Bowl, Johannesburg, Afrika Selatan hari ini.
Mereka mengumpul 2,606 jatuhan pin untuk memintas pendahulu saingan iaitu gandingan dari Australia, Dena Buxton dan Bec Whiting, dalam ‘game’ terakhir.
Dena dan Bec terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas ketinggalan 59 pin pada ‘game’ keenam dengan mengumpul 2,547 mata.
Pingat perak menjadi milik gandingan dari Malta, Sue Abela dan Tiziana Carannante yang mengumpul 2,552 jatuhan pin.
Dalam saingan perseorangan semalam, Shalin dan Siti Safiyah gagal meraih pingat dengan Siti Safiyah sekadar berada di kedudukan keempat manakala Shalin di tempat kelapan.
Sebanyak 11 negara anggota Komanwel mengambil bahagian dalam kejohanan itu dengan setiap negara menghantar empat pemain, masing-masing dua wakil dalam kategori lelaki dan wanita.
Acara yang dipertandingkan adalah perseorangan (lelaki dan wanita), beregu (lelaki dan wanita), beregu campuran dan berpasukan campuran manakala 12 pemain terbaik dalam acara All Events mara ke peringkat Masters. – BERNAMA