TAWAU – Polis Tawau menahan seorang lelaki Bajau dan merampas 120 kotak rokok seludup pelbagai jenis bernilai RM894,722 di Kampung Sungai Buaya di Batu Tiga Jalan Apas di sini, pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata berpandukan maklumat risikan, sepasukan polis menghampiri sebuah rumah dan menahan suspek yang sedang mengangkat kotak disyaki rokok yang diseludup dari negara jiran sekitar pukul 8 malam.
“Bagaimanapun seorang rakan suspek sempat melarikan diri dengan terjun ke laut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas rumah terbabit polis menjumpai 120 kotak rokok yang di dalamnya terdapat rokok jenama Premium (3,950 bungkus), L.A Putih (2,000 bungkus), L.A Hitam (200 bungkus), Astro Hijau (50 bungkus), Astro Merah (50 bungkus), Menara Merah (60 bungkus) dan Gudang Garam (720 bungkus),
masing-masing belum dikenakan cukai.
“Hasil maklumat, pihak Kastam Diraja Malaysia mendapati nilai rampasan rokok tersebut sebelum cukai dianggarkan RM151,820 manakala nilai selepas cukai dianggarkan RM894,722,” katanya.
Suspek dirujuk kepada pihak Kastam bagi siasatan lanjut. – BERNAMA