KEMAMAN – Pihak polis memburu dua lelaki yang dipercayai memecah masuk Dewan Komuniti Cina, di sini dan mencuri beberapa peralatan penghawa dingin, dua minggu lepas.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt. Mohd. Said Ibrahim berkata kedua-dua suspek yang berusia 30-an itu dipercayai bersubahat bersama tiga lelaki yang ditahan Sabtu lepas.
Beliau yang menganggarkan kerugian lebih RM10,000 berkata, pendedahan penglibatan dua lagi suspek timbul selepas soal siasat terhadap mereka yang telah ditahan itu.
“Ekoran kejadian pada 21 Oktober itu pihak kami menjalankan intipan dan lapan hari selepas itu (29 Oktober) kami berjaya menangkap tiga lelaki dan mereka mengaku terlibat dalam kejadian itu.
Kita berjaya merampas beberapa peralatan penghawa dingin yang diambil iaitu empat kepingan aluminium serta beberapa peralatan pecah rumah. Siasatan lanjut mendapati seorang daripada mereka positif dadah,” katanya.
Mohd Said berkata dua suspek diberkas pada 2 pagi, 29 Oktober di sebuah rumah di Kampung Dusun Nyoir, di sini manakala keesokannya seorang lagi ditahan sekitar 3.10 petang di kawasan Air Putih.
Tambahnya ketiga-tiga lelaki berusia antara 25 hingga 35 tahun itu dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini dan dihukum penjara lapan bulan setelah mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana menyimpan harta curi, yang dijumpai di dalam semak berdekatan lokasi kejadian.
Katanya terdapat cubaan kedua, tiga hari selepas kejadian untuk pecah masuk dewan yang sama namun gagal.
Berikutan kejadian itu juga, Mohd. Said mengingatkan peniaga barangan lusuh supaya tidak bersekongkol dengan penjenayah dengan membeli barangan curi termasuk kepingan tembaga dan besi.
“Kami akan menjalankan siasatan dari semasa ke semasa di kedai barangan lusuh ini untuk membanteras kegiatan mencuri barangan besi,” katanya. – BERNAMA

