TAIPING – Seorang pemilik kedai runcit menjadi individu pertama di Perak dihadapkan di mahkamah atas pertuduhan menyembunyikan barang kawalan berjadual iaitu 210 kilogram minyak masak pada 28 Okt 2016.
Kan Bak Nguang @ Khor Bak Nguang, 65, didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping di sini hari ini atas tuduhan menyembunyikan barang kawalan itu untuk tujuan menahannya daripada dijual di pasaran.
Kan didakwa melakukan perbuatan itu di Pusat Pembelian Sheen Yee, Persiaran Perwira, Pusat Bandar di Parit Buntar dekat sini, kira-kira 12 tengah hari.
Dia mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Amri Alfikri Mohamad Dasuki menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh kerana kes itu serius dan menyalahi undang-undang.
Bagaimanapun, P. Ravee yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah mengurangkan jaminannya kepada RM5,000 atas alasan tertuduh menyara ibunya yang kini terlantar sakit di sebuah hospital swasta selain menganggap kes itu tidak serius dan bukan luar biasa.
Mohd Sabri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Dis depan untuk pengurusan kes bagi serahan dokumen. – BERNAMA

