KINABATANGAN – Seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) maut selepas kereta dipandu bapanya bertembung dengan lori treler di Kilometer 97 Jalan Sandakan-Lahad Datu di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A. Sahak Rahmat berkata mangsa, Nor Fatiha Binti Hapid, 19, berasal dari Tawau meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kinabatangan.
Katanya kejadian berlaku kira-kira pukul 6.15 pagi apabila kereta Proton Saga dinaiki mangsa dari arah Lahad Datu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori treler.
Menurutnya bapa mangsa, Hapid Lanbau, 50, dan seorang lagi penumpang, Herman Bin Rahimin, 32, mengalami cedera parah.
Pemandu lori treler, lelaki berusia 27 tahun tidak mengalami kecederaan, kata A.Sahak dalam satu kenyataan.
Beliau berkata dua mangsa yang cedera parah menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Katanya kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

