KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melancarkan sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak (NUR Alert) menerusi laman Facebook bagi menyebar maklumat mengenai kehilangan kanak-kanak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kerjasama yang dijalinkan bersama Facebook itu akan menghantar maklumat kehilangan kepada pengguna media sosial berkenaan menerusi hebahan berita terutamanya mereka yang berada dalam kawasan carian kanak-kanak hilang.
Khalid yakin maklumat kehilangan kanak-kanak dapat disalurkan dengan lebih pantas dan berkesan dengan kerjasama Facebook, yang kini menjadi ahli ke-36 PDRM bagi sistem NUR Alert.
“Menerusi 19 juta pengguna berdaftar Facebook di Malaysia, maklumat dapat disalurkan dengan cepat dan cara ini lebih efisyen untuk menyebar maklumat bagi mengesan kanak-kanak hilang,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran sistem itu, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Amanah dan Keselamatan Facebook, Emily Vacher.
Khalid berkata hebahan menerusi Facebook itu merangkumi maklumat penting kanak-kanak hilang seperti foto, lokasi kejadian selain keterangan yang dapat membantu proses pencarian.
Sejak PDRM mengambil alih sistem pengurusan kes kanak-kanak hilang di negara ini pada 2011, Khalid berkata 21 daripada 29 kanak-kanak yang dilaporkan hilang berjaya ditemui semula.
Beliau berkata pihaknya masih meneruskan pencarian lapan lagi kanak-kanak yang dilaporkan masih hilang.
“Kami masih dalam proses mencari mereka…ada kemungkinan juga anggota keluarga telah membawa mereka ke luar negara, jadi ini menyukarkan sedikit proses pencarian itu. Apa pun kami tidak berdiam diri dan akan terus mengesan mereka,” katanya.
Sistem NUR Alert dilancarkan pada 2007 di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat berikutan penculikan Nurin Jazlin Jazimin.
PDRM bekerjasama dengan 35 ahli lain dalam sistem NUR Alert yang terdiri daripada pelbagai kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mengumpul maklumat dan mencari kanak-kanak hilang di bawah sistem berkenaan. – BERNAMA