PERTH – Spesies primat bernama Puan yang berusia 60 tahun dan kini menetap di Zoo Perth di sini diiktiraf secara rasmi oleh pihak Guinness World Record sebagai orang utan tertua di dunia.
Namun seiring dengan usianya itu, Puan yang berasal dari Sumatera, Indonesia itu tidak lagi bergerak seaktif orang utan berumur muda setelah berjaya menyambut ulang tahun kelahirannya genap ke-60 pada 27 Oktober lalu.
Seorang petugas Zoo Perth menyatakan, kesihatan Puan bagaimanapun sangat baik tetapi sejajar pertambahan usia yang dianggap sebagai cukup lanjut itu, Puan kerap “marah-marah” atau kurang sabar jika ia lambat dilayan.
“Puan pada masa ini adalah orang utan yang sukar didekati.” kata Martina Hart, salah seorang staf di zoo berkenaan malah berkata, ia tidak sabar dan akan menghentakkan kakinya apabila ingin sesuatu benda itu dengan cepat.
“Ia mungkin ingin menunjukkan dirinya lebih dihormati dan Puan memang patut dihormati. Ia malah jarang menunjukkan secara terbuka bahawa ia sedang tertarik untuk berinteraksi dengan kita,” jelas petugas tersebut lagi.
Uniknya, petugas Zoo Perth memerlukan beberapa tahun untuk mengenal pasti secara tepat berapakah usia sebenar Puan. Maka mereka akhirnya menetapkan bahawa orang utan betina itu lahir di alam habitat liar pada 1956 lalu.
Ini bermakna secara teknikal, Puan layak disenaraikan masuk dalam catatan Guinness World Record sebagai orang utan tertua di dunia mengatasi Nonja yang mati dalam usia 55 tahun di Zoo Miami, Amerika Syarikat pada 2007.
Orang utan betina itu asalnya menetap di Zoo Wassenaar, Belanda setelah ditangkap dari hutan liar pada 1955 lalu sebelum dipindahkan ke Miami pada 1983 dan kemudian menghabiskan usia dengan berjaya melahirkan lima anak.
Bagaimanapun Puan pula dihadiahkan kepada pihak Zoo Perth pada 1968 oleh Sultan Johor ketika itu, Sultan Sir Ismail Almarhum Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur sebagai pertukaran dengan beberapa spesies haiwan asli Australia.
Sepanjang berada di Perth selama lebih empat dekad, Puan direkodkan selamat melahirkan 11 anak dan dianggap sudah pun menjadi seumpama nenek atau buyut bagi sebahagian besar orang utan lain di tempat berkenaan sendiri.
Untuk rekod, pencapaian Puan berjaya mencecah usia genap 60 tahun ini merupakan hal yang amat luar biasa, kerana rata-rata orang utan di mana-mana zoo hanya mampu hidup sehingga usia paling tua pun setakat 50 tahun.
“Ia mendapat ubat arthritis atau sakit sendi secara berjadual pada setiap malam, dan ketika pagi yang dingin, kami memberinya teh herba untuk membangunkan dirinya. Namun selain daripada itu, ia adalah sihat,” kata Martina.
“Puan bagaimanapun mulai lambat dalam urusan panjat memanjat dahan pokok yang tinggi. Maka ia kini lebih banyak menghabiskan waktu dengan berjalan santai di atas permukaan tanah,” jelas staf tersebut lagi.
Media Australia melaporkan, bersempena detik bersejarah itu, Zoo Perth memberikan hadiah menu sarapan pagi istimewa bagi Puan pada 27 Oktober lalu khusus merayakan parti ulang tahunnya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA