BANGKOK – Sidang khas Dewan Perundangan Kebangsaan (NLA) hari ini memperakui Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn untuk menaiki takhta sebagai raja Thailand yang baharu.
Presiden NLA, Pornpetch Witchitcholchai, yang mempengerusikan sidang secara ringkas itu, berkata Dewan itu akan memohon untuk menghadap Putera Mahkota berkenaan bagi menjemput baginda secara rasmi untuk menaiki takhta.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus tarikh untuk menghadap baginda.
Putera Mahkota itu akan menggantikan ayahanda baginda, Raja Bhumibol Adulyadej, yang mangkat pada 13 Oktober lepas sekiranya baginda menerima jemputan NLA untuk menaiki takhta.
Raja Bhumibol mangkat pada usia 89 tahun dan diiktiraf sebagai raja paling lama memerintah di dunia.
Istiadat kemahkotaan raja baharu Thailand dijangka diadakan selepas upacara pemakaman diraja.
Putera Mahkota berkenaan, yang berusia 64 tahun, adalah satu-satunya putera Raja Bhumibol dan Ratu Sirikit, dan dinamakan sebagai pewaris takhta pada 28 Disember 1972 ketika berusia 19 tahun.
Berkhidmat sebagai pegawai dalam Tentera Diraja Thailand sejak 1975, baginda mendapat pendidikan awal di Thailand sebelum melanjutkan pengajian di United Kingdom dan Australia.
Seorang juruterbang bersijil, baginda juga mampu menerbangkan jet pejuang dan pesawat pengangkutan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Jeneral Prayut Chan-o-cha dan anggota kabinetnya serta panglima angkatan tentera dan Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) mengadakan mensyuarat khas di Rumah Kerajaan.
Mesyuarat sejam itu bertujuan mengemukakan nama Putera Mahkota berkenaan kepada NLA.
Menjawab soalan media selepas mesyuarat itu, Timbalan Perdana Menteri, Jeneral Prawit Wongsuwon berkata upacara menghadap Putera Mahkota itu besar kemungkinan diadakan esok atau lusa. – BERNAMA