KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut memberi reaksi mengenai insiden kekecohan terhadap Khalid Abdul Samad di luar lobi bangunan Parlimen pada Khamis.
Justeru tegas Khalid, polis memberi tempoh hingga jam 2 petang ini kepada 10 individu terlibat untuk serah diri dan berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengarahkan 10 individu yang dikenal pasti terlibat dalam kekecohan itu supaya segera tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.
Antara yang berjaya dikenal pasti ialah Firdaus Tajuddin iaitu anak lelaki kepada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Insiden sekitar jam 12 tengah hari itu dipercayai susulan tindakan biadap Ahli Parlimen Shah Alam itu yang memanggil Tajuddin dengan perkataan ‘SIAL’ dalam persidangan Dewan Rakyat pada Isnin lalu.
Khalid yang juga Pengarah Komunikasi PAN dikatakan bertindak kurang ajar sedemikian selepas Tajuddin mengeluarkan perkataan sinis terhadap Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok.
“Kami perlu melindungi kesucian Parlimen,” kata Ketua Polis Negara itu pada sidang media selepas majlis penganugerahan pangkat untuk beberapa pegawai kanan di Bukit Aman pada Jumaat.
Khalid turut memberi amaran keras terhadap mereka yang sengaja melanggar undang-undang termasuk mana-mana pihak yang didapati menimbulkan kekecohan di kawasan Parlimen.
“Kami juga akan siasat buku log memasuki Parlimen. Malah, saya sudah bosan dalam beri amaran. Tindakan akan diambil. Mereka yang langgar undang-undang mesti sedia menerima akibat atas tindakan itu,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA