BAGAN DATOH – Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azman Abdullah yang mengendalikan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais hari ini meninjau tiga lokasi yang mempunyai kaitan dengan kes itu.
Dua lokasi adalah Balai Polis Hutan Melintang yang menyimpan rangka kereta terbakar milik mangsa dan lokasi kereta dibakar di Ladang Kelapa Sawit, Kampung Sungai Samak.
Satu lagi lokasi yang dilawat adalah sebatang sungai di Kuala Selangor yang merupakan lokasi mesin pencanai, barang-barang milik Kevin iaitu jam tangan, beg duit dan cincin dibuang.
Azman tiba di Balai Polis Hutan Melintang kira-kira pukul 12.20 tengah hari dengan diiringi jurubahasa dan kakitangan mahkamah.
Terdahulu, pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, pihak pembelaan dan tujuh tertuduh dalam kes ini, tiba pukul 11.40 pagi di balai polis berkenaan.
Tujuh yang tertuduh adalah Kol Dr R. Kunaseegaran, 53, G.Gunasekaran, 48; R.Dinishwaran, 24; A.K. Thinesh Kumar, 23; M.Vishwanath, 26; Nimalan, dan S. Ravi Chandaran, 45.
Kesemua mereka dituduh membunuh Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.
Setelah meluangkan masa hampir 15 minit di Balai Polis Hutan Melintang, pasukan itu kemudian bergerak ke ladang kelapa sawit dan mengambil masa 30 minit meneliti lokasi kesan kereta dibakar sebelum bergerak ke Kuala Selangor. – BERNAMA