KUALA LUMPUR – Pembelian empat kapal misi pesisir (LMS) dari China berupaya memenuhi keperluan semasa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk melaksanakan misi-misi mencabar, selain ia memenuhi standard piawaian antarabangsa.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kapal itu direka khas untuk untuk operasi menghadapi ancaman semasa seperti rompakan di laut, pelanunan, aktiviti jenayah rentas sempadan dan militan Daesh.
Katanya pembelian itu juga sebagai menggantikan aset TLDM yang telah berusia dan berdepan dengan masalah keusangan serta memerlukan kos operasi yang semakin meningkat selain tidak efektif untuk menampung tugas-tugas operasi.
“Armada TLDM pada masa kini terdiri daripada 15 kelas kapal dengan purata umur kapal-kapal TLDM kini melampaui tempoh 30 tahun. Justeru itu, kos operasi armada TLDM terus meningkat setiap tahun akibat daripada kos selenggaraan yang semakin tinggi,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Raime ingin tahu kepentingan pembelian kapal-kapal itu seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hasil lawatan beliau ke China baru-baru ini.
Menjelas lanjut, Hishammuddin berkata perolehan kapal LMS itu juga merupakan satu bentuk pemindahan teknologi (TOT) kerana pembinaannya akan diusahakan antara Syarikat Boustead dari Malaysia dengan China Shipbuilding and Offshore International Corporation Limited (CSOC) dari China.
Katanya ini akan meningkatkan keupayaan firma tempatan untuk bergerak menjadi lebih berdaya saing selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berterusan menerusi kerjasama itu.
Mengenai kapal-kapal lama yang tidak lagi kos efektif untuk dioperasikan, Hishammuddin berkata ia akan dilucutkan tauliah dan seterusnya dilupuskan secara berperingkat berdasarkan polisi semasa kerajaan.
Katanya kerajaan mempunyai beberapa pilihan sama ada kapal yang dilupuskan itu dijual melalui tender terbuka pada pihak atau negara yang dibenarkan atau diserahkan sebagai sumbangan, dijual sebagai skrap ataupun dijadikan sasaran penembakan di laut.
“Keputusan pilihan akan dibuat setelah kajian dijalankan bagi mendapatkan pulangan serta nilai terbaik pada kerajaan,” katanya. – BERNAMA
![PRU15: [RASMI] Hishammuddin Menang Di Sembrong](https://www.mynewshub.tv/wp-content/uploads/2022/11/WhatsApp-Image-2022-11-19-at-23.26.26.jpeg)
