KUALA LUMPUR – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini membuat satu laporan polis terhadap Pengerusi Hisbah Center for Reform, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berhubung kenyataannya yang didakwa memfitnah kerajaan.
Presidennya, Datuk Azwanddin Hamzah berkata pihaknya meminta polis menyiasat kenyataan Mohamad Ezam, Ahad lepas, yang didakwa mampu menggugat kerajaan serta mengancam reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tugasan rasmi.
“Beliau (Mohamad Ezam) telah membuat pelbagai tuduhan dan tomahan yang berbentuk fitnah jenayah terhadap kerajaan. Tindakan tegas harus diambil,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi di sini, hari ini.
Beliau mahu pihak polis membuat siasatan terperinci kenyataan tersebut di bawah Akta Hasutan 1948.
Ahad lepas, Mohamad Ezam telah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Najib sebagai korup sehingga tersebar di media baharu seperti Whatsapp dan Telegram. – BERNAMA