KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki yang berusia 10 tahun dipercayai hilang selepas tidak pulang ke rumah bapanya di Cheras, sejak 31 Oktober lalu.
Portal MyMetro melaporkan, ibu mangsa, Siti Rohayu Yaacob, 37, berkata, anak lelakinya iaitu Noor Ayrill Aqasha tinggal bersama-sama dengan bekas suaminya di Cheras sejak tiga bulan lalu.
“Saya hanya mengetahui mengenai berita kehilangan dia sejak semalam (Khamis) selepas dimaklumkan oleh pihak polis susulan satu laporan polis yang telah dibuat oleh bekas suaminya itu.
“Saya difahamkan, kali terakhir dia pernah dilihat ketika berada di Jalan Jejaka 9, Taman Maluri, Cheras pada Isnin lalu,” kata wanita tersebut yang kini menetap di Ampang, Selangor.

Laporan polis telah pun dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 3 November oleh bapa Noor Ayrill sendiri dan dia turut berharap kerjasama masyarakat jika mengesan anaknya itu.
Kata Siti Rohayu, dia berasa bimbang dengan keselamatan anaknya itu dan bertindak menyebarkan berita kehilangan berkenaan melalui aplikasi WhatsApp bagi meminta bantuan orang ramai.
“Setakat ini saya belum dapat apa-apa berita cuma pagi tadi saya ada menghubungi pegawai penyiasat dan dimaklumkan belum ada khabar berita mengenai anak saya,” katanya. – MyMetro

