CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendedahkan bahawa hanya 16 peratus ibu bapa di negara ini menggunakan aplikasi penapisan internet terhadap peranti yang digunakan anak-anak mereka.
Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain MohdYasin berkata kajian SKMM bersama beberapa penyedia perkhidmatan internet (ISP) pada tahun ini turut mendapati 74 peratus ibu bapa berpendapat kanak-kanak perlu dilindungi daripada penyalahgunaan internet.
Beliau berkata penguat kuasa dan ISP kini sudah menyediakan aplikasi untuk memantau penggunaan internet oleh kanak-kanak dan peranan ibu bapa adalah untuk memuat turun aplikasi tersebut.
Dalam sesi pembentangan kajian itu kepada pihak media di sini, katanya, kerjasama antara SKMM dengan enam ISP diharap dapat meningkatkan kesedaran ibu bapa, seterusnya menjadikan mereka lebih proaktif dalam usaha melindungi anak-anak mereka daripada anasir buruk di internet.
Sementara itu, Pengarah Kanan Advokasi dan Jangkauan SKMM, Eneng Faridah Iskandar berkata kebanyakan kanak-kanak di negara ini mula memiliki telefon pintar pada usia 12 tahun.
Beliau berkata ibu bapa tidak boleh memberikan kepercayaan penuh kepada anak-anak dalam penggunaan internet tanpa memikirkan akibat penyalahgunaannya.
Katanya, kajian itu adalah satu inisiatif SKMM yang agak menyeluruh melibatkan pelbagai pihak dengan harapan memberi jalan penyelesaian kepada ibu bapa untuk mengambil tindakan proaktif melindungi anak-anak mereka.
Enam ISP yang terlibat dalam inisiatif itu adalah Celcom, U Mobile, Digi, Maxis, Time dan TM.
Semua ISP kini mempunyai sistem pengawalan penggunaan internet yang membolehkan ibu bapa memantau, mengehadkan penggunaan dan menghalang akses ke laman sesawang pilihan ibu bapa. – BERNAMA

