IPOH – Seorang guru lelaki maut manakala isterinya terselamat apabila kereta yang mereka naiki terbabas di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara selepas Terowong Menora, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 3.10 petang itu, mangsa Mohamad Faizun Ahamad, 50, meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Norehan Abd Rasid, 48, tidak mengalami kecederaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Supt Wan Jamil Wan Chik berkata ketika kejadian, pasangan suami isteri itu, kedua-dua bekerja sebagai guru, dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati kereta Proton Iriz yang dipandu Mohamad Faizun hilang kawalan lalu melanggar pembahagi besi kiri jalan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat manakala isterinya dibawa ke hospital yang sama untuk pemeriksaan.
Wan Jamil berkata siasatan juga mendapati tempat kemalangan merupakan jalan berselekoh dan dua hala, dengan keadaan cuaca ketika itu juga cerah.
Sementara itu, Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Muhammad Shaznil Abd Thoher berkata dua jentera dari Balai Bomba Kuala Kangsar dan Balai Bomba Meru Raya dihantar ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kereta itu. – BERNAMA

