KUALA LUMPUR – DAP mahu kerajaan Malaysia bertindak seperti negara China yang didakwa telah menghukum hampir 1 juta pegawai dan kakitangan kerajaannya atas kesalahan rasuah hanya dalam tempoh kira-kira tiga tahun.
Pemimpin veteran DAP merangkap penasihat parti itu, Lim Kit Siang berkata, langkah berkenaan bagi membolehkan Malaysia menjadi terkenal sebagai negara yang anti rasuah mengatasi China.
“Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) harus mempelajari kempen anti rasuah di China yang telah menghukum kira-kira 1 juta pegawai rasminya sejak tiga tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian berikutan lawatan rasmi Najib selama enam hari ke China bagaimanapun dengan matlamat mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang lama terjalin antara kedua-dua negara.
Kehadiran Najib ke China mendapat sambutan hebat negara itu yang kini antara kuasa besar dan berpengaruh di dunia.
Lawatan Najib atas jemputan Perdana Menteri China, Li Keqiang itu merupakan yang ketiga oleh Najib sejak 2009.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009 manakala Malaysia merupakan rakan dagang kelapan terbesar China serta rakan dagang terbesar dalam kalangan 10 negara ASEAN.
Data yang dikeluarkan China menunjukkan bahawa jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan China tahun lepas berjumlah US$97.3 bilion (RM408.4 bilion) dan pada Ogos tahun ini, dagangan berjumlah US$54.3 bilion (RM227.9 bilion). – Mynewshub.cc

