SEORANG lelaki dari Rusia seolah-olah tidak ‘takut’ dengan maut apabila bertindak melakukan aksi gila dengan melompat merentasi sebuah landasan kereta api ketika kenderaan itu meluncur laju.
Menerusi sebuah video berdurasi 40 saat, seorang lelaki sedang duduk di bangku platform sebuah stesen kereta api dilihat mengikat tali kasutnya sebelum bertindak melakukakan aksi ekstrem berkenaan.
Lelaki yang tidak diketahui identitinya itu, dirakam melakukan lompatan dari satu platform ke platform di hadapannya betul-betul di hadapan kepala kereta api yang nyaris-nyaris melanggarnya.
Menerusi video yang tersebar, kedengaran bunyi hon dibunyikan oleh konduktor kereta api itu mungkin terkejut dengan aksi yang dilakukan lelaki tersebut.
Meskipun aksi itu mampu mengundang maut, namun si pelaku kelihatan bersahaja malah sempat melambai ke arah rakannya yang bertindak sebagai jururakam.
Menurut portal berita Al Arabiya, aksi berani pemuda itu telah mendapat perhatian meluas media tempatan termasuk saluran Rusia, HIT Russian News.
Walau bagaimanapun, rata-rata netizen yang mononton video tersebut meragui kesahihan video berkenaan dan mendakwa ia adalah helah teknikal semata-mata. – MYNEWSHUB.CC

