KUALA LUMPUR – Seramai 47,667 calon akan menduduki peperiksaan Penggal 3 Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2016 di 705 buah pusat peperiksaan di seluruh negara pada 7, 8, 9, 10, dan 14 November ini.
Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan berkata, daripada bilangan ini, seramai 47,098 orang adalah calon sekolah kerajaan, 296 calon sekolah swasta, 260 orang calon persendirian individu dan 13 orang calon sekolah kerajaan negeri.
“Sementara itu, seramai 50,865 orang calon pula akan menduduki peperiksaan Penggal 1 STPM 2017 pada 15, 16, 17, dan 21 November 2016 di 687 buah pusat peperiksaan.
“Daripada bilangan ini, seramai 50,572 orang adalah calon sekolah kerajaan, 210 calon sekolah swasta, 72 orang calon persendirian individu, dan 11 orang calon sekolah kerajaan negeri,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut MPM speperiksaan Ulangan Penggal 1 STPM 2016 juga akan diadakan iaitu pada 15, 16, 17, dan 21 November 2016 dengan seramai 41,391 orang calon akan mendudukinya, manakala peperiksaan Ulangan Penggal 2 STPM 2016 akan diadakan pada 22, 23, 24, dan 29 November 2016 dengan seramai 40,289 orang.
Jelas kenyataan itu, Ujian Malaysian University Englist Test (MUET) Sesi November 2016 pula akan dijalankan pada 5 November 2016 di 487 buah pusat ujian melibatkan seramai 45,498 orang calon.
Justeru, calon-calon terbabit dinasihati supaya sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC) bagi peperiksaan STPM dan Slip Daftar MUET (MUET/D) bagi MUET semasa hadir menduduki peperiksaan masing-masing.
“Calon boleh mencetak LPKC dan MUET/D masing-masing melalui portal Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) www.mpm.edu.my.
“Calon juga dinasihati agar menyemak nama pusat peperiksaan yang akan diduduki bagi mengelak daripada hadir di pusat peperiksaan yang salah,” kata MPM.
MPM dalam pada itu memberitahu jika berlaku sebarang bencana alam pula, seperti banjir atau tanah runtuh dan calon mendapati sukar untuk sampai ke pusat peperiksaan, mereka dinasihati supaya pergi ke pusat peperiksaan yang berdekatan dan melaporkan diri kepada Ketua Pengawas di pusat peperiksaan yang berkenaan bagi menduduki kertas peperiksaan pada hari tersebut.
“Bagi menghadapi sebarang kemungkinan tersebut semasa peperiksaan STPM dan MUET berlangsung, MPM telah membuka Bilik Gerakan yang boleh dihubungi melalui telefon di talian 03-61261668.
“Bilik Gerakan ini beroperasi dari pukul 7:45 pagi hingga 5 petang. Talian telefon lain yang boleh dihubungi ialah 03-61261600 (Am)/03-61261650/03-61261651/03-61261653/03-61261661/03-61261662,” kata MPM. – MYNEWSHUB.CC

