PUTRAJAYA – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) merancang memperluaskan aktiviti perniagaan dengan menceburi bidang farmasi mulai tahun depan, kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abibullah Samsudin.
Katanya, 10 daripada 80 anak yatim dan miskin program Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN) yang mempunyai kelayakan dalam bidang farmasi akan menjadi perintis kepada usaha YaPEIM menceburi perniagaan farmasi itu.
Mereka akan mengambil lesen daripada Kementerian Kesihatan untuk menjual, membeli, mengimport dan mengeksport ubat-ubatan berjadual bagi menjalankan perniagaan itu, katanya.
“Apabila dilaksanakan, bilangan farmasi yang dimiliki orang Islam akan bertambah, sekali gus memberi lebih akses kepada masyarakat dalam membuat pilihan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Inspirasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) YaPEIM di sini, hari ini.
Menurutnya, kini 23 peratus farmasi di seluruh negara dimiliki atau dikendalikan orang Islam.
Selain Ar-Rahnu, iaitu program pembangunan ekonomi Islam paling berjaya dengan 202 cawangan di seluruh negara, YaPEIM turut aktif dalam bidang perniagaan seperti pasar raya, perniagaan berasaskan emas, bidang keselamatan dan pelaburan hartanah.
Mengenai Program Inspirasi SPM-YaPEIM 2016, Abibullah berkata, inisiatif julung kali dengan peruntukan RM814,000 itu akan memberi manfaat kepada lebih 8,100 pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM di 39 lokasi terpilih.
Program yang akan dijalankan sepanjang Oktober bertujuan membantu pelajar luar bandar yang kurang akses kepada program kecemerlangan SPM membuat persiapan akhir sebelum menduduki peperiksaan, katanya. – BERNAMA