JOHOR BAHRU – Siasatan awal mendapati kebakaran di bilik pembedahan di wad kecemasan dan trauma di Hospital Sultanah Aminah (HSA) tengah hari tadi disebabkan litar pintas.
Kejadian tersebut berlaku susulan wayar yang terdedah terkena air ketika kerja pembersihan di aras dua susulan kebakaran di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Othman Abdullah dalam satu kenyataan mengesahkan berlaku ‘percikan api’ di aras satu, di kawasan bawah Unit Rawatan Rapi (ICU) yang terbakar semalam.
“Hal ini terjadi hasil daripada air yang mengalir semasa proses pembersihan kawasan tersebut yang mengenai plug elektrik,” katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, kejadian kemungkinan berlaku apabila ada soket-soket atau pendawaian basah menyebabkan tindak balas berlaku hingga mewujudkan satu percikan api.
Satu jentera dengan tujuh anggota akan ditempatkan di hospital itu sehingga kerja penyiasatan dan pembersihan selesai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, kebakaran di bangunan induk HSA ditutup selama 24 jam bagi memudahkan pemantauan dan kawalan pihak berkuasa.
Menurutnya, kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang unsur sabotaj, keganasan dan jenayah.
Katanya, kawasan kejadian juga menempatkan Dewan Bedah yang dalam pengubahsuaian.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, pesakit dan kakitangan HSA diarahkan keluar dari bangunan induk dan dikumpulkan di tempat letak kereta di hadapan bangunan selepas penggera kecemasan berbunyi. – MYNEWSHUB.CC

