KUALA LUMPUR – Penubuhan Unit Khas Pertahanan Siber oleh Kementerian Pertahanan dilihat mampu menangkis masalah jenayah siber yang boleh mengancam ketenteraman negara, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Jailani Johari.
Beliau berkata penubuhan unit itu sangat tepat dan bersesuaian dengan situasi ketika ini yang mana capaian maklumat termasuk berbentuk ancaman begitu mudah tersebar dan diperoleh di alam siber.
“Kita akan beri sokongan sekiranya berlaku mana-mana ancaman yang akan mengganggu gugat ketenteraman negara.
KKMM, melalui Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, akan terus membantu dari segi siasatan, teknikal dan segala yang berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan di ‘Lighting Up Malaysia With Fiber Summit’ hari ini.
Jailani menarik perhatian, masyarakat alam maya kini lebih cenderung mempercayai pelbagai sebaran maklumat tanpa menyedari ia mungkin merangkumi ancaman siber, berbanding maklumat sahih yang telah disediakan pihak berkuasa.
Semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata sistem dan rangkaian pertahanan negara dilihat lebih kukuh dengan penubuhan Unit Khas Pertahanan Siber yang bertindak memantau rapi sebarang ancaman siber.
Katanya sistem yang mula dibangunkan pada tahun lepas itu penting berikutan ancaman keselamatan bukan fizikal dan konvensional, bukan setakat memerlukan kepakaran malah penelitian luar biasa untuk mengawal kesan dan penyebarannya. – BERNAMA