KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah atas kemangkatan Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej, hari ini.
“Bagi pihak rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan takziah yang ikhlas dan mendalam kepada Keluarga Diraja, Kerajaan, dan rakyat Thailand atas kemangkatan baginda Raja Bhumibol Adulyadej.
“Raja Bhumibol menjadi lambang tertinggi perpaduan dan sumbangan baginda kepada Thailand dan seluruh rantau ini, adalah melangkaui kata-kata. Kami bersama-sama dengan rakyat Thailand berkabung atas kemangkatan baginda,” kata Najib menerusi posting terbaharu dalam laman Facebook hari ini.
Raja Bhumibol, 89, mangkat di Hospital Siriraj pada pukul 3.52 petang seperti diumumkan oleh Biro Diraja hari ini.
Baginda yang menduduki takhta selama 70 tahun sejak 1946, menerima rawatan di hospital sejak 3 Okt, 2014. – BERNAMA