KUALA TERENGGANU – MCA menerima lebih 30 permohonan bantahan terhadap cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga tarikh bantahan yang berakhir hari ini.
Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata lebih 10 permohonan bantahan adalah dari negeri Selangor dan selebihnya daripada negeri-negeri lain.
Katanya, semua bantahan tersebut akan dikemukakan kepada SPR bersama cadangan-cadangan bagi penambahbaikan.
“Kita akan pastikan cadangan itu akan memberikan kebaikan kepada semua pihak.
“Bagaimanapun MCA dan parti komponen (Barisan Nasional) lain termasuk UMNO telah berbincang dan bersetuju dengan cadangan-cadangan yang dikemukakan dan ia akan dihantar kepada SPR sebaik sahaja tamat tempoh bantahan (hari ini),”
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen MCA, Pemuda dan Wanita Terengganu, di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi MCA negeri Datuk Toh Chia Yau.
Ditanya mengenai kandungan cadangan tersebut, Liow berkata ia hanya akan diketahui apabila SPR membuat pengumuman mengenainya kelak.
Syor persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR mendapat bantahan beberapa pihak sebelum ini termasuk parti komponen BN. – BERNAMA