KUALA LUMPUR – Masyarakat di negara ini perlu lebih prihatin dan mengamalkan sikap mengambil tahu dalam menangani isu berkaitan keganasan terhadap orang tua, wanita dan kanak-kanak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
“Dalam erti kata lain kita mesti ‘menjaga tepi kain orang’ seperti memberi laporan dan maklumat tepat mengenai insiden keganasan terhadap golongan tersebut,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen ’90 Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita’ di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes rakaman video mengenai kekasaran terhadap penghuni sebuah pusat jagaan orang tua di Klebang, Melaka.
Video berdurasi 11 saat yang menjadi viral di laman sosial Facebook dua hari lepas memaparkan mangsa yang merupakan wanita warga emas berusia lingkungan 70-an dilihat dikasari pengusaha pusat jagaan berkenaan dan perbuatan itu mendapat respons negatif daripada netizen.
Mengenai kempen itu, Rohani dalam ucapan pelancarannya berkata kempen yang telah masuk tahun ketujuh penganjurannya itu bertujuan menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani keganasan terhadap wanita di negara ini.
“Laporan polis mengenai kes keganasan semakin meningkat dan ini menunjukkan bahawa ia bukan lagi sesuatu yang perlu disembunyikan atau dirahsiakan atau dianggap sebagai isu peribadi.
“Wanita telah sedar bahawa sekiranya berlaku keganasan yang melibatkan dirinya, laporan kepada pihak berkuasa harus dibuat. Hal ini membuktikan bahawa wanita juga sudah berani ke hadapan bagi memperjuangkan hak mereka sebagai wanita,” katanya.
Tambah beliau, menurut statistik Jabatan Pembangunan Wanita, 554 sesi kaunseling telah dijalankan melibatkan kes-kes berkaitan wanita dari Januari hingga Mei tahun ini.
Rohani berkata statistik Kes Keganasan Rumahtangga yang diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia, Januari sehingga Ogos tahun ini mendapati 3,878 kes diterima dengan 972 kes melibatkan keganasan terhadap lelaki dan 2,906 kes terhadap wanita dicatatkan berbanding tahun lepas yang merekodkan 5,014 kes bagi tempoh Januari hingga Dis 2015.
“Ini bermakna, kes-kes keganasan masih lagi berlaku dalam masyarakat dan kempen yang lebih agresif perlu dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Rohani turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menggesa pembebasan Dr Fauziah Mohd Hassan, 59, yang ditahan pihak berkuasa Israel Rabu lepas.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana tidak putus-putus mendoakan keselamatan dan kesejahteraan beliau. Misi penting beliau membuktikan kita negara kecil tetapi berhati besar untuk memperjuangkan keamanan dunia,” katanya.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini mengesahkan satu-satunya rakyat Malaysia di atas kapal Zaytouna-Oliva ke Gaza itu adalah selamat dan telah dibebaskan.
Sepuluh aktivis wanita termasuk Dr Fauziah dan tiga anak kapal, yang dalam pelayaran menuju ke Semenanjung Gaza dalam misi ‘Women’s Boat to Gaza’ (WBG), ditahan pada 2.58 petang waktu tempatan (8.58 malam waktu Malaysia) di pelabuhan Ashdod, Israel. – BERNAMA

