MELAKA – Berdepan ketidaktentuan ekonomi global pada masa ini, kerajaan negeri Melaka sentiasa berusaha meningkatkan tahap ekonomi rakyat ke aras lebih baik, kata Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.
Beliau berkata Melaka telah menyusun strategi bagi memastikan ekonomi negeri terus berkembang baik dan dalam masa sama berusaha mengekalkan kadar pengangguran yang rendah serta kadar inflasi di paras terkawal.
“Saya dimaklumkan kadar kemiskinan negeri Melaka berada pada tahap 0.1 peratus berbanding 0.6 peratus di peringkat nasional. Pendapatan isi rumah bulanan Melaka meningkat daripada RM4,759 pada 2012 kepada RM6,046 pada tahun 2014.
“Meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global dan pasaran semasa, rakyat telah dimaklumkan bahawa ekonomi Malaysia akan terus bertahan,” katanya.
Mohd Khalil berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka bersempena Sambutan Hari Lahir Ke-78 beliau di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Beliau berkata dalam meningkatkan tahap ekonomi, kerajaan negeri juga sentiasa berusaha menarik pelabur asing dan domestik ke negeri ini dengan meningkatkan infrastruktur serta kemudahan yang kondusif serta mesra pelabur.
“Saya juga berharap fokus bagi menarik pelaburan dalam sektor bernilai tambah tinggi seperti teknologi hijau, automatif serta elektrik dan elektronik akan memberi impak positif kepada kemampanan ekonomi negeri,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Khalil mengingatkan bahawa kunci utama untuk memacu kemajuan dan kemakmuran negeri serta negara adalah terletak pada hubungan harmoni yang terjalin antara rakyat yang berbilang kaum.
“Perpaduan antara rakyat dan pemimpin juga adalah berterusan dan haruslah dijadikan teras utama dalam pentadbiran dan hubungan rasmi serta sosial. Saya percaya jika prinsip ini kita amalkan, pasti keharmonian negara kita terjaga, perpaduan semakin erat dan Melaka akan terus maju,” katanya.
Terdahulu pada istiadat itu, seramai 228 orang menerima darjah, bintang dan pingat masing-masing didahului Idris yang merupakan penerima tunggal Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Seramai tujuh orang menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) membawa gelaran Datuk Seri iaitu Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Naim Abu Bakar.
Utusan Khas Perdana Menteri ke Negara-Negara Afrika Selatan Prof Emeritus Tan Sri Dr Lim Kok Wing, Exco Kerja Raya dan Kemudahan Awam Melaka Datuk Abdul Ghafaar Atan, Pengerusi Eksekutif Concord Alliance Sdn Bhd Tan Sri Mohd Hussin Abd Hamid dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Tanjung Offshore Bhd Tan Sri Tan Kean Soon.
Pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei antara 10 penerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.
Penerima DCSM yang lain ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah; Exco Kesihatan, Sukan dan Antidadah Melaka Datuk Ab Rahaman Ab Karim, Timbalan Exco Pembangunan Belia dan Warisan Melaka Datuk Norpipah Abdol, Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.
Ahli Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia Datuk Sheikh Othman Sheikh Abdul Rahman, Presiden Persatuan Bola Keranjang Melaka Datuk Tan Kang Yong, Pengerusi Putrade Property Management Sdn Bhd Tan Sri Alies Anor Abdul, Pengarah Smart Home Asia Sdn Bhd Datuk Seri Dr Tan Lung Lai dan Pengarah Eksekutif Berjaya Assets Bhd Datuk Lye Ek Seang.
Seramai tujuh orang menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) membawa gelaran Datuk manakala 42 orang menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang juga membawa gelaran Datuk.
Sebanyak 22 orang menerima Darjah Seri Melaka (DSM), Bintang Cemerlang Melaka (BCM) (34 orang), Bintang Khidmat Terpuji (BKT) (67 orang) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (38 orang). – BERNAMA