BEIJING – Kerajaan tempatan Shengzhou ada rancangan bijak untuk menggalakkan kira-kira setengah juta penduduk mencantikkan bandar itu dengan memberi mereka ‘hadiah’ sepeket tisu bagi setiap puntung rokok yang dikutip di jalan raya.
Pada awalnya cadangan itu nampak membuahkan hasil, namun lama-kelamaan semakin banyak puntung rokok diserahkan kepada pihak berkuasa sehingga menimbulkan syak.
Media tempatan melaporkan, seorang pegawai mendakwa 4.8 juta puntung rokok diterima dalam tempoh kurang sebulan menyebabkan jabatan pembersihannya terpaksa mengeluarkan lebih 100,000 peket tisu.
Jumlah itu mungkin nampak terlalu tinggi namun terbukti dengan gambar yang disiarkan.
Kebanyakan yang datang membawa puntung rokok itu terdiri daripada golongan tua. Seorang wanita warga emas membawa 9,100 puntung ke pejabat berkenaan.
Disebabkan itu, pihak berkuasa Shengzhou terpaksa membatalkan kempen itu kerana menyedari tidak mungkin semua puntung rokok itu dikutip di jalan raya bandar berkenaan.
Kerana mahukan hadiah itu, ada penduduk meminta rakan dari bandar lain membawa puntung rokok kepada mereka. – Agensi/myMetro Online