JASIN – Jenazah veteran UMNO Tan Sri Abdul Aziz Tapa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rim di sini pada 5.25 petang tadi.
Kira-kira 500 orang menghadiri pengkebumian Abdul Aziz, 93, yang meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Putra dekat sini pada 11.55 pagi tadi.
Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Kampung Rim di sini sebelum disembahyangkan di Masjid At-Taqwa di sini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Anggota Dewan Negara Tan Sri Mohd Ali Rustam.
Allahyarham meninggalkan isteri Puan Seri Maznah Lassim, 86, serta lapan anak lelaki dan seorang anak perempuan.
Anak keenam Allahyarham, Amir Hamzah, 57, berkata bapanya mula mendapatkan rawatan di Hospital Putra di sini pada Ahad lepas kerana berasa kurang selesa dengan keadaan kesihatannya.
“Allahyarham baru buat ‘pacemaker’ untuk jantungnya, hasil pemeriksaan di hospital bapa saya mempunyai banyak kahak dan terus saya minta dimasukkan ke ICU kerana perlu pemerhatian langsung, agak serius lah,” katanya.
Anak kedua Allahyarham Mohd Azam, 65, berkata keluarga reda dengan pemergian tokoh Melayu itu dan amat mudah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
“Ketika menghembuskan nafas terakhir anggota keluarga ada bersama, mengucap kalimat (dua kalimat shahadah) amat mudah dan menghembuskan nafas terakhir dengan mudah, ramai kata kehilangan tokoh yang amat berjasa tetapi kami kehilangan seorang bapa yang amat memahami anak-anaknya,” katanya.
Mengulas kembali sikap Allahyarham, beliau berkata ketika usia muda Abdul Aziz merupakan seorang bapa yang garang kerana mahu anak-anaknya menjadi seorang yang berguna untuk negara kelak.
“Walaupun amat garang beliau amat toleransi dan kita sebagai anak boleh berbincang apa sahaja dengan dia, baik daripada segi hidup ataupun nasib orang Melayu di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd Ali berkata jasa dan pengorbanan Allahyarham cukup besar dalam UMNO dan orang Melayu serta ketokohan beliau amat sukar dicari ganti.
“Ketika saya muda bergiat dalam persatuan belia dahulu Allahyarham merupakan antara pemimpin yang sentiasa dekat dengan kami anak muda dan memperjuangkan pelbagai isu dengan kami, bagi kami ketika itu Allahyarham tokoh yang amat kami segani dan sayangi,” katanya. – BERNAMA

